Lesen baru arak perlu ambil kira sensitiviti kawasan, kata menteri

Pada 1 Jun lalu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan pengeluaran lesen baru penjualan arak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, lesen baru bagi penjualan minuman keras di ibu negara akan mengambil kira sensitiviti kawasan, waktu penjualan serta premis terbabit.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat mengehadkan pembukaan kedai minuman keras baru di kawasan didiami orang Islam di Dewan Rakyat hari ini.

Latiff juga bertanya apakah kementerian akan menilai semula premis yang sedia ada di kawasan berkenaan.

Annuar berkata, jualan minuman keras diperlesenkan kerana ia perlu dikawal selain menjaga kepentingan awam dan keharmonian di kawasan berkenaan.

Memetik situasi di negara barat yang turut memperuntukkan kawalan ketat dan teratur bagi penjualan minuman keras, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyemak semula peraturan dan garis panduan untuk lesen baru selepas peraturan itu dilihat semakin longgar di negara ini.

“Sudah tentu penjualan minuman keras tidak boleh disamakan dengan penjualan kordial atau minuman biasa sebab ia akan menjejaskan orang lain selain peminum,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kementerian memerlukan 1 set garis panduan baru yang akan disusun menjelang Ogos ini.

Namun, beliau memberi jaminan hak mereka yang mahu membeli atau mengambil minuman keras tidak akan dihalang.

“Saya sudah selesai melantik 5 ahli lembaga baru (Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja) dan mereka akan diberi garis panduan lebih jelas supaya tidak boleh keluarkan lesen arak sesuka hati.

“Tetapi menjadi tanggungjawab bagi kerajaan tempatan terutama bawah akta yang ditentukan dan juga menjadi tanggungjawab ahli lembaga pelesenan untuk tidak mengeluarkan lesen sesuka hati,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.

Terdahulu, Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) meminta Annuar menyatakan apakah rasional keputusan DBKL untuk melaksanakan penggantungan pengeluaran lesen minuman keras dan bilakah pengeluaran pengeluaran lesen akan disambung semula.

Annuar berkata, tiada pembekuan pada lesen kerana mereka yang memiliki lesen sedia ada masih boleh beroperasi.

Beliau berkata, pembekuan itu adalah untuk lesen baru kerana DBKL mahu meneliti garis panduan lama berikutan keresahan orang ramai mengenai kematian berpunca akibat kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

Wong juga bertanya apakah DBKL sudah berbincang isu itu dengan pihak pemegang taruh seperti pemilik bar dan restoran, pengimport minuman keras dan peniaga kerana industri itu membabitkan ribuan peluang pekerjaan.

Annuar menjelaskan, tiada sebarang masalah jika pihak berkenaan mahu mengemukakan sebarang syor.

Pada 1 Jun lalu, DBKL membekukan permohonan baru lesen minuman keras serta-merta susulan beberapa insiden pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya lain.