Muhyiddin ikrar kerajaan PN akan tegakkan prinsip undang-undang

Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menghormati keputusan Najib Razak untuk memfailkan rayuan atas hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin berkata, beliau memahami perasaan dan sentimen dibangkitkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah Najib Razak, tetapi kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya akan sentiasa menegakkan prinsip serta kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menyabitkan Najib bersalah atas semua 7 pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

“Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi bebas dan berkecuali,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Perdana menteri berkata, kerajaan menghormati keputusan bekas perdana menteri itu untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan mahkamah hari ini.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan.”

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara ke atas Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Hakim mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan selama 12 tahun.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.