Najib hormat pandangan peribadi Khairy untuk bina semula Umno

Najib Razak mengakui kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, tetapi beliau akan memfailkan rayuan secepat mungkin untuk membersihkan namanya.

KUALA LUMPUR: Najib Razak menghormati gesaan Khairy Jamaluddin untuk membina semula Umno dan melakukan proses rejuvenasi yang disifatkan sebagai pandangan peribadinya, selepas bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah atas 7 pertuduhan rasuah.

“Semua orang berhak ada pandangan masing-masing. Bagi saya, itu pandangan peribadi beliau,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pengumuman hukuman ke atasnya hari ini.

Terdahulu, Khairy dilaporkan berharap Umno tidak diheret dalam kes membabitkan Najib.

“Walaupun beliau masih ada ruang merayu, ini adalah suatu keputusan yang memberi kesan besar kepada Umno. Saya yakin ahli-ahli Umno akan terus setia kepada parti melebihi kesetiaan kita kepada mana-mana individu di dalam parti.

“Tibalah masa untuk kita bina semula parti keramat Umno ini dan untuk kita melihat suatu peralihan generasi kepimpinan yang bakal membawa parti ke era baru,” tulis menteri sains, teknologi dan inovasi itu di blognya hari ini.

Akur keputusan Umno

Najib berkata, beliau sedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat Umno, susulan penghakiman hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu menyifatkan pendirian terbuka Umno itu sejajar prinsipnya sendiri.

“Tak tahu (apa yang akan diputuskan Umno), tapi saya ini orang parti, jadi saya akan patuh kepada keputusan parti,” katanya susulan kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang parti itu akan membuat keputusan politik besar susulan keputusan kes Najib hari ini.

Ditanya jika beliau rasa dirinya dianiaya dengan hukuman penjara dan denda itu, Najib berkata: “Tak, sebab ini bukan ‘the end of the world’. Ada proses rayuan dan harap berjaya di peringkat itu, usaha mesti diteruskan.

“Untuk penyokong-penyokong saya, saya harap anda menaruh kepercayaan kepada saya dan takkan tinggalkan saya.”

Kecewa keputusan mahkamah

Najib mengakui kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, tetapi beliau akan memfailkan rayuan secepat mungkin untuk membersihkan namanya.

“Saya amat kecewa dengan penghakiman dalam kes SRC kerana pihak kami yakin Shafee Abdullah dan peguam saya sudah kemuka hujah-hujah yang boleh bawa kepada banyak keraguan dalam kes ini, namun ia tidak diterima.

“Saya berharap apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan, ia akan didengari segera kerana saya ingin teruskan usaha membersihkan nama saya dan perjuangan ini tetap saya teruskan.”

Beliau turut mengulangi dirinya tidak meminta atau ditawar RM42 juta.

“Saya sudah ulangi sumpah saya tidak minta mahupun tawarkan ataupun dalam pengetahuan saya tahu tentang duit RM42 juta yang dikatakan masuk dalam akaun saya.

“Jadi, ini satu pengakuan kerana saya nak menyatakan dengan tegas bahawa pendirian saya adalah benar.

“Saya sanggup lafaz sumpah 2 kali supaya ia dirakamkan dalam pengakuan yang tegas dan benar yang saya buat.”

Beliau berharap rayuannya akan diadili sebaik mungkin kerana hanya seorang hakim yang membuat keputusan di Mahkamah Tinggi berbanding panel 3 hakim di Mahkamah Rayuan.

Najib dan barisan peguamnya meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas hampir 10 jam berada di dalam mahkamah sejak 10 pagi tadi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.