Najib sumpah tak tahu RM42 juta selepas sabitan bersalah

Najib Razak berkata, tiada bukti atau saksi untuk menunjukkan beliau meminta atau menerima RM42 juta dana SRC International.

KUALA LUMPUR: Najib Razak mengulangi sumpah laknatnya tidak tahu mengenai RM42 juta dana SRC International dalam akaun banknya, selepas disabitkan bersalah atas 7 pertuduhan rasuah hari ini.

Bekas perdana menteri itu menafikan beliau pernah meminta atau ditawarkan wang itu.

“Sebagai orang Islam, wallahi wabillahi watallahi saya tidak meminta, saya tidak merancang atau ditawarkan RM42 juta itu.

“Saya bersaksi kepada Allah, saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu.

“Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan pendek yang diakhiri lafaz sumpah laknat itu selepas pihak pembelaan dan pendakwaan melengkapkan hujah untuk mitigasi.

Terdahulu, beliau turut membangkitkan pencapaiannya sepanjang 9 tahun menjadi perdana menteri, termasuk prestasi baik Tabung Haji dan Petronas di bawah kerajaan pimpinannya.

Katanya, beliau juga bertanggungjawab memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang dilabelkan pengkritik sebagai undang-undang drakonian, tetapi tidak pernah diberi penghargaan secukupnya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mencadangkan sistem lebih telus untuk sumbangan politik.

“Sayangnya, cadangan itu memerlukan sokongan 2 parti, tetapi pembangkang pada masa itu tidak setuju dan cadangan itu akhirnya tidak dapat dilihat.”

Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, anak guamnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat kes itu pada 2015.

“Pada 2018, beliau terus memberi kerjasama kepada polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) apabila Barisan Nasional tumbang (pada pilihan raya umum) dan siasatan dijalankan semula oleh kerajaan baru, walaupun bekas peguam negara membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.”

Katanya, Najib malah tidak pernah menerima sebarang saman trafik.

Beliau berkata, Najib tidak biasa dengan hal ehwal korporat dan benar-benar percaya lembaga pengarah SRC International akan menjalankan tugas mereka dengan baik.

Katanya, Najib tidak pernah terbabit dalam mengendalikan bekas anak syarikat 1MDB itu.

“Jika beliau bersalah, beliau hanya silap mempercayai orang yang sepatutnya mengendalikan syarikat itu. Orang boleh kata beliau terlalu mempercayai mereka.”

Shafee mengulangi beliau berdepan halangan dalam mitigasinya, dengan menekankan beliau tiada masa mengkaji semula penghakiman hari ini.