Noor Hisham bangga kongsi laporan media bahasa Cina, Malaysia di tangga kedua terbaik ‘Anti-Pandemik’

Malaysia sememangnya sudah dikenali satu dunia atas kecekapan menangani pandemik Covid-19 dan sering menjadi tumpuan dunia.

Pengiktirafan itu sudah pastinya tidak datang dengan mudah dan semestinya ia mengambil kira pelbagai aspek dan pendekatan yang dilakukan dalam menangani wabak itu.

Selepas beberapa kali mendapat pengiktirafan, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila dilaporkan berada di tangga kedua dalam carta anti pandemik yang dilakukan sebuah pasukan kumpulan pemikir atau lebih mesra dikenali sebagai “think tank” dari Jepun.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Facebooknya yang turut memuat naik kembali laporan yang diterbitkan akhbar China Press.

Laporan oleh portal tersebut yang memetik Newsweek Japan memaklumkan Malaysia berada di tangga kedua di belakang Taiwan yang jauh meninggalkan negara-negara lain dari kutipan mata yang diraih.

Melalui beberapa penilaian yang dilakukan, Malaysia berjaya mengumpul 144 mata manakala Taiwan pula berjaya meraih 180 mata daripada keseluruhan 200 mata.

Selain Malaysia, Thailand juga berjaya menjadi salah satu negara asia tenggara yang menduduki tangga terbaik dalam laporan tersebut dengan kutipan 126 mata untuk berada di tangga keempat di belakang Hong Kong.

Negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom pula masing-masing berada di tangga ke 41 dan 43.

Kejayaan negara-negara Asia berada dalam sepuluh kedudukan terbaik berlaku kerana negara-negara ini memberi perhatian awal terhadap perkembangan wabak itu dan mengambil langkah kawalan imigresen atau perjalanan antarabangsa yang ternyata mempengaruhi penularan wabak itu di satu-satu negara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]