Mahkamah dapati Najib bersalah atas semua tuduhan berkait SRC

Bekas Perdana Menteri Najib Razak tiba pada jam 9.35 pagi bagi mendengar keputusan berhubung kes penyelewengan wang berjumlah 42 juta ringgit milik SRC International Sdn Bhd di Mahkmah Jalan Duta.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas semua 7 tuduhan berhubung RM42 juta milik bekas unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga berkata pasukan pembelaan Najib Razak gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pasukan pendakwaan, dan pendakwa raya dapat membuktikan kesnya.

“Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan semua 7 tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC dihadapi tertuduh.

“Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan,” katanya.

Najib merupakan bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabit kesalahan atas tuduhan jenayah bagi tindakan yang dilakukan semasa menjawat jawatan itu.

Beliau dituduh dengan 7 kes pada 2018, iaitu 3 tuduhan pecah amanah, 1 tuduhan salah guna kuasa, dan 3 tuduhan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Masing-masing bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM), dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Selepas keputusan mahkamah dibacakan, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukan pembelaan memerlukan masa untuk melakukan mitigasi.

“Kami minta mitigasi diadakan pada Isnin (3 Ogos),” katanya.

Tuduhan pecah amanah

Bagi tuduhan pecah amanah, Nazlan berkata pasukan pembelaaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa raya berkenaan wang milik SRC berjumlah RM4 bilion yang diamanahkan kepada beliau dalam kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Orang ramai berhimpun di kompleks mahkamah Kuala Lumpur sejak awal pagi lagi untuk bersolidariti dengan pemimpin mereka, Najib Razak.

Najib didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang sejumlah RM27 juta dan RM5 juta antara 24 Dis 2014 dan 29 Dis 2014, dan RM10 juta antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan.

KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tuduhan salah guna kuasa

Bagi tuduhan salah guna kuasa, Nazlan berkata pasukan pembelaaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa raya berkenaan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Kompleks mahkamah Kuala Lumpur bawah kawalan ketat polis ketika negara menantikan keputusan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib didakwa menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan untuk memberikan jaminan bagi pinjaman itu.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Feb 2012.

Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tuduhan pengubahan wang

Bagi tuduhan pengubahan wang, Nazlan berkata pasukan pembelaaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwa raya melibatkan dana yang sama dalam tuduhan pecah amanah.

Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta, dan RM10 juta, yang dikatakan hasil aktiviti haram, ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 26 Dis 2014 dan 10 Feb 2015.

AMLATFPUAA memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.