Pavithra kembali dengan resepi terbaru selepas padam semua video masakan

S Pavithra memilih resipi dalca tulang kambing untuk video terbarunya yang dimuat naik ke YouTube hari ini.

PETALING JAYA: Bintang YouTube, S Pavithra kembali dengan video masakan terbaru di salurannya, selepas memadamkan semua 98 video masakannya Sabtu lalu.

Beliau memilih resipi dalca tulang kambing untuk diketengahkan dalam video terbarunya hari ini.

Video selama 6 minit 15 saat itu ditonton lebih 73,000 pengguna YouTube sejak dimuat naik 3 jam lalu.

Beberapa peminat saluran Pavithra turut memuat naik komen positif untuk menyokong wanita berkenaan meneruskan video masakannya.

“Saya tidak kisah apa yang berlaku terhadap anda secara peribadi, saya hanya sukakan video masakan anda, teruskan usaha anda, M Sugu dan keluarga,” kata pengguna bernama Azman Salimon.

Ariel Serizawa berkata: “Kita sebagai rakyat Malaysia, kita menyokong satu sama lain. Saya berharap anda boleh berjaya di masa hadapan.”

Ahad lalu, suami Pavithra, M Sugu dilaporkan mengaku memadamkan semua 98 video yang dimuat naik ke saluran itu sejak Januari lalu atas beberapa faktor peribadi.

Ia selepas timbul dakwaan berhubung konflik membabitkan Pavithra dan suaminya yang dilaporkan berniat mencederakannya.

Pada 24 Julai lalu, Sugu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dakwaan memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit Selasa lalu.

Susulan itu, Pavithra dilaporkan memaafkan suaminya.

Katanya, beliau tidak mahu memikirkan masalah itu dan akan memfokuskan kehidupan mereka sekeluarga, termasuk meneruskan video masakan di YouTube.

Beliau dan suaminya juga enggan menerima sebarang pengiktirafan atau penganugerahan ikon.