Pemimpin Umno harap keadilan buat Najib, hormat keputusan mahkamah

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberi sokongan moral kepada Najib dan memaklumkan pihaknya tidak boleh mencampuri urusan mahkamah.

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno berharap keputusan yang akan dibuat hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib Razak berhubung tuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) adil dan mengikut perlembagaan undang-undang.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang turut hadir memberi sokongan moral kepada bekas perdana menteri itu di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mencampuri urusan mahkamah.

“Kita harapkan keadilan buat “bossku”, selepas itu kita akan berikan sokongan. Bagaimanapun, ini urusan mahkamah kita tidak boleh campur. Saya doakan semua dipermudahkan untuk Najib tapi saya percaya keputusan akan berpihak kepada Najib,” katanya.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, harapannya Najib dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas semua tuduhan itu.

“Saya harap kebenaran akan ditegakkan, dan beliau akan dibebaskan oleh mahkamah hari ini,” katanya.

Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunus berkata, keputusan hari ini bukan untuk Najib sebaliknya menggambarkan pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kes ini bukan hanya mengadili Najib Razak, tapi juga mengadili PN,” katanya.

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim berkata, apa saja keputusan hari ini beliau tetap berdiri teguh bersama Najib.

“Kami mengharap Najib tidak bersalah, kami sokong Najib sehingga titisan darah terakhir,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo berkata, mereka menghormati apa saja keputusan mahkamah hari ini.

“Apa saja berlaku, kami hormat keputusan mahkamah,” katanya.