Penyokong Najib menangis selepas mahkamah umum keputusan

Seorang penyokong Najib Razak menangis selepas mahkamah mengumumkan keputusan kes rasuah bekas perdana menteri itu membabitkan dana SRC International.

KUALA LUMPUR: Penyokong Najib Razak yang berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini sedih selepas hakim memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah terhadap 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Keadaan kecoh seketika dan sebahagian penyokong yang berhimpun di pintu pagar sejak 5 pagi tadi menjerit, manakala ada yang menangis kerana kecewa dengan keputusan itu.

Mereka turut melaungkan “Bossku tak bersalah”, “Mahkamah tak adil” dan “Dr Mahathir Mohamad kejam”.

Seorang penyokong ahli Parlimen Pekan itu, Asmah Sulaiman berkata keputusan berkenaan tidak adil.

“Ini tidak adil, Najib tak bersalah. Bossku orang baik,” katanya dengan nada tinggi.

Seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah dari Sepang, berkata Najib masih mempunyai peluang dan perlu memfailkan rayuan kerana beliau yakin berlaku kekhilafan dalam perbicaraan kes itu.

“Bossku kena rayu balik. Ini adalah salah.”

Seorang lagi penyokong yang tidak mahu dikenali, yakin Najib ialah orang baik dan akan terus menyokongnya.

“Apa-apa pun yang terjadi, kami tetap akan sokong Bossku sampai mati,” katanya dalam nada sebak sambil mengesat air matanya.

Putri Maslia yang merupakan penyokong tegar Najib marah dengan keputusan itu.

“Ini sudah salah! Najib banyak tolong saya dulu. Kes SRC untuk bantu orang susah dan dia bantu saya, dia bantu anak yatim, rumah orang tua,” kata warga emas berkerusi roda itu.

Sampah yang dikutip dan dikumpul di satu kawasan yang merupakan lokasi penyokong Najib Razak berhimpun di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, keadaan di pintu masuk Kompleks Mahkamah yang merupakan lokasi penyokong Najib berkumpul, dicemari longgokan sampah seperti bekas makanan, botol minuman, puntung rokok dan topeng.

Majoriti penyokong mula meninggalkan perkarangan mahkamah sejak 1 tengah hari tadi, selepas hakim mengumumkan keputusan kes itu.

Tinjauan FMT mendapati beberapa penyokong Najib secara sukarela mengutip sampah dan mengumpulnya di satu kawasan.

“Kami mohon maaf, kami sudah minta penyokong kutip sampah, tapi ada yang degil tinggalkan juga,” kata seorang penyokong yang mengambil inisiatif mengutip sampah itu.

Terdahulu, polis mengarahkan penyokong Najib mematuhi penjarakan sosial ketika berhimpun.

“Tolong jaga penjarakan sosial, kalau tidak saya kutip (tangkap),” kata seorang pegawai polis.

Mahkamah Tinggi hari ini mendapati Najib bersalah atas semua 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan berkata, pasukan pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang dibicarakan dan disabit bersalah atas tuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

Beliau dituduh dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.