Perlu kuarantin untuk ujian Covid-19 jika masuk Sarawak

Kerajaan Sarawak hanya akan menanggung kos ujian untuk rakyat Sarawak dan pegawai kerajaan persekutuan yang bekerja di negeri ini.

KUCHING: Rakyat dari Semenanjung, Sabah, dan Labuan yang memasuki Sarawak akan dikuarantin di pusat ditetapkan untuk ujian Covid-19.

Exco pengurusan bencana Sarawak Douglas Uggah Embas berkata, mereka akan dibenarkan pulang jika keputusan ujian negatif.

Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata kerajaan negeri hanya akan menanggung kos kuarantin dan ujian bagi penduduk Sarawak dan pegawai kerajaan persekutuan yang bekerja di negeri ini.

Langkah itu akan berkuat kuasa dari 1 hingga 14 Ogos.

Mengenai kawalan perjalanan antara zon yang akan dilaksanakan pada jangka masa sama, beliau berkata hanya mereka yang melakukan tugas rasmi atau perlu menjalani pemeriksaan perubatan, terbabit dalam perkhidmatan penting, dan mereka yang mengunjungi saudara yang sakit atau menghadiri pengebumian akan dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan polis.

Waktu operasi perniagaan di Kuching juga akan dihadkan antara 6 pagi hingga 10 malam.

Sehingga kini 19 orang dijangkiti virus itu di Sarawak.