Sabitan bersalah Najib kemenangan buat rakyat, kata PH

Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib Razak bersalah atas semua 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta milik SRC International.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Najib Razak bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International ialah kemenangan besar buat rakyat Malaysia.

Gabungan pembangkang itu dalam kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, proses pengadilan itu tidak akan bermula jika rakyat tidak bangkit memberi kemenangan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Majlis Presiden PH berpendirian reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana bagi memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar di zaman pentadbiran Barisan Nasional tidak berulang.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Majlis Presiden PH berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses ini, termasuk bekas peguam negara yang memulakan proses perundangan ini.”

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan Najib bersalah atas semua 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta milik SRC International kerana pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam PRU 2018.