Slogan ‘Sawit Anugerah Tuhan’ akan diuar-uarkan ke luar negara

Willie Mongin.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Willie Mongin berkata slogan “Sawit Anugerah Tuhan” bukan sahaja untuk kempen dalam negara tetapi juga antarabangsa.

“Memang kita akan uar-uarkan dan kita juga percaya kerajaan mempunyai ketekunan memberi satu slogan yang baru bukan sahaja dalam negara malah luar negara,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Khoo Poay Tion (PH-Kota Melaka).

Ahli Parlimen itu meminta kerajaan menjawab sama ada slogan “Sawit Anugerah Tuhan” akan dibawa ke peringkat antarabangsa bagi melawan kempen anti kelapa sawit.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali memaklumkan kepada Dewan Rakyat slogan baru itu, menggantikan ” Sayangi Sawitku” yang diperkenalkan pada 8 Januari 2019 sebagai respon kepada kempen Kesatuan Eropah, kerana ia “lebih baik”.

Pengenalan slogan baru itu mengundang pertanyaan daripada bekas menteri industri utama, Teresa Kok yang ingin tahu siapa sasaran slogan itu.

Beliau menerangkan cabaran yang dihadapi industri sawit ialah persepsi negatif terhadap eksport negara yang ketiga terbesar itu, dan kempen dilancar untuk memberi penerangan tentang sawit Malaysia ke seluruh dunia.

Katanya dalam kenyataan, slogan asal “Love MY Palm Oil” menyasarkan warga Malaysia dan masyarakat antarabangsa. “‘MY’ bermaksud ‘Malaysia’”.