‘Syabas, berbaloi’, kata pembangkang selepas mahkamah isytihar Najib bersalah

Bekas presiden Umno Najib Razak ketika menuju ke Mahkamah Tinggi untuk keputusan kesnya.

PETALING JAYA: Ahli politik pembangkang bergembira selepas mahkamah mengisytiharkan bekas presiden Umno Najib Razak bersalah atas semua 7 tuduhan berhubung RM42 juta milik bekas unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Bekas ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli berkata sebahagian besar masanya sebagai wakil rakyat berdepan skandal 1MDB.

“Saya tak pernah berharapkan apa-apa dari usaha itu, tapi hari ini saya rasa segala kesusahan itu berbaloi. Syabas Malaysia,” katanya di Twitter.

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pula berkata menulis tanda pagar #keadilanuntukrakyatMalaysia di platform itu.

“Tujuh untuk tujuh. Salah guna kuasa (1x), pecah amanah (3x) dan pengubahan wang haram (3x),” katanya.

Seorang lagi ahli Parlimen PKR, Shamsul Iskandar Md Akin bagaimanapun mengingatkan perjalanan ke Penjara Sungai Buloh “masih jauh”.

“Namun saya yakin Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan sabitan terhadap wakil rakyat Pekan itu,” katanya.

Sementara itu, ketua editor laman kontroversi Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, berkata keputusan mahkamah itu bukan satu kejutan bagi sesiapa yang mengikut perbicaraan bekas presiden Umno itu.

“Saya sangat suka apabila hakim mengatakan Najib pasti akan kirim ucapan terima kasih kepada raja Saudi jika beliau merasakan dari situ datangnya wang itu,” katanya kepada FMT.

Seorang aktivis Lawyers for Liberty, Sin Yew pula berkata, dengan penghakiman itu, Najib mungkin tidak layak untuk bertanding pilihan raya umum ke-15.