Wong patut beritahu saya dulu, kata pengerusi DAP Sarawak

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kecewa dengan tindakan Wong King Wei yang keluar parti.

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kecewa dan terkejut dengan tindakan naib pengerusi, Wong King Wei yang mengumumkan keluar parti itu kelmarin.

Chong berkata, salah faham atau perselisihan pendapat antara ahli parti bukan alasan yang kukuh untuk meninggalkan parti.

Kelmarin, Wong dalam kenyataan berkata beliau “muak dan bosan” dengan beberapa tingkah laku ahli parti itu, selain membidas taktik berkonfrontasi dan serangan peribadi terhadap mereka yang berbeza pandangan.

Membalas kenyataan itu Chong berkata: “Amat sedih melihat seorang pemimpin parti menentang parti dan menimbulkan kerosakan pada parti yang diwakilinya selama ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Adun Padungan 2 penggal itu berkata, beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyertai parti politik lain dan menolak untuk bertanding semula pada pilihan raya negeri akan datang.

Chong berkata: “Bagi keputusan yang begitu berat ini, saya sangka dia (Wong) akan terlebih dulu menyampaikan hasratnya (untuk keluar dari parti) kepada saya dan membincangkannya terlebih dulu tetapi sayangnya, itu tidak berlaku,” katanya.

“Semua parti politik akan ada jatuh bangunnya dan juga perbezaan pendapat. Seorang ahli yang sejati akan tetap bersama parti walau apa pun berlaku.

“Oleh itu, saya harap dia mempertimbangkan semula keputusannya untuk keluar parti dan tidak mengecewakan pengundi yang memilihnya di Padungan,” katanya.