Zahid gesa penyokong, ahli Umno bertenang selepas Najib didapati bersalah

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) berkata, Umno akan membincangkan keputusan kes rasuah Najib Razak dan mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju kerajaan sedia ada.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin parti itu dan penyokong Najib Razak bertenang selepas bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas semua 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

“Kita akur dengan keputusan mahkamah. Saya menyeru pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli parti serta penyokong bertenang,” tulisnya di Facebook sambil menambah beliau yakin Najib ialah individu yang cekal dan tabah.

Beliau berkata, Najib masih mempunyai ruang mendapatkan keadilan mengikut proses undang-undang.

Katanya, keputusan mahkamah hari ini akan dibincangkan parti itu.

“Ini bukan penghujung dunia, proses masih berjalan, namun tentunya kita akan mengambil satu keputusan politik hasil keputusan hari ini.

“Tentunya ada sesuatu yang akan dilakukan Umno dan tunggu keputusannya yang akan kami bincangkan.

“(Saya) harap kita berlapang dada dan terbuka terima keputusan yang akan dibuat parti nanti.

“Tentunya apa yang akan kami lakukan adalah tindakan bersifat usaha bagi menentukan hala tulu kerajaan yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan berkata, pasukan pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.

Beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.