13 kes baru, tiada kluster baru Covid-19

PETALING JAYA: Sebanyak 13 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan 5 kes jangkitan tempatan.

Ini menyebabkan jumlah kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 8,956 kes dengan 220 pesakit masih dirawat di seluruh negara.

Tiga daripada 5 kes jangkitan tempatan itu membabitkan 3 wargenegara dan 2 lagi warga asing, manakala 8 kes baru ialah kes import yang terdiri daripada 4 rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 5 kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara itu masing-masing satu kes di Johor, Sarawak dan Sabah.

Katanya, 2 warga asing dalam jangkitan tempatan itu daripada Kluster Mambong di Sarawak dan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) di Perlis yang didapati positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Kangar.

Beliau berkata, Lapan kes import itu membabitkan individu dari United Kingdom (2 kes di KL), India (2 kes di KL), Filipina (1 kes di KL), Pakistan (1 kes di KL), Gambia (1 kes di Selangor) dan Ukraine (1 kes di Selangor).

Katanya, 2 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, 5 pesakit sembuh hari ini, menjadikan semuanya 8,612 kes pulih setakat ini.

Tiada kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlahnya kekal 124 orang.

Sementara itu, KKM di Twitternya mengumumkan tiada kluster baru dikesan hari ini.

Hisham berkata, kluster Mambong di Sarawak mencatatkan 7 kes positif (termasuk 2 warga asing), manakala baki 191 orang yang disaring setakat 12 tengah hari tadi negatif.

Bagi kluster Sentosa, iaitu sebuah hospital di Kuching, 31 daripada 1,026 orang yang disaring setakat 12 tengah hari disahkan positif Covid-19, 888 negatif dan 107 masih menunggu keputusan.

“Saringan ini merangkumi petugas kesihatan, ahli keluarga,
pekerja syarikat pembersihan, pengawal keselamatan, pesakit dan kontak rapat lain.”

Katanya, jumlah kes positif dalam kluster itu membabitkan 17 daripada 397 petugas kesihatan, 4 daripada 104 pekerja syarikat pembersihan dan pengawal keselamatan, satu daripada 196 pesakit hospital, 2 daripada 108 ahli keluarga serta 7 daripada 221 kontak rapat.

Hisham berkata, kluster Sentosa membabitkan kes sehingga generasi ke-2 dan punca penularan sedang disiasat.

“Namun, hasil siasatan awal mendapati kemungkinan besar ia berpunca daripada aktiviti di dalam komuniti.”