2 minggu ketahui jika ada kes Covid-19 akibat himpunan penyokong Najib, kata Hisham

Sebahagian penyokong Najib Razak berhimpun di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam tanpa mengamalkan penjarakan sosial.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan tahu jika himpunan penyokong Najib Razak di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam akan menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dalam 2 minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM akan memantau keadaan itu dalam 14 hari berikutnya untuk melihat jika terdapat peningkatan kes baru.

“Jika ada, baru kita ambil tindakan dengan melakukan pengesanan kes dan kontak rapat,” katanya sambil menambah mereka yang disahkan positif akan dihantar ke hospital.

“Kita berdoa dan berharap tiada peningkatan kes. Setakat ini, belum ada apa-apa berkaitan himpunan semalam,” katanya dalam sesi bersama media hari ini.

Semalam, beratus penyokong mengepung Najib ketika berjalan kaki dari Masjid Wilayah ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar keputusan kesnya membabitkan dana SRC International.

Ada yang bersalaman dengan bekas perdana menteri itu.

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, beliau kecewa dan “sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri” kerana penyokong Najib tidak mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan Covid-19 ketika berhimpun di luar mahkamah.

Ia selepas Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) menyuarakan kebimbangan terhadap himpunan terbabit yang tidak dikekang dan dikawal pihak berkuasa.

Terdahulu, polis hari ini berkata, mereka akan memanggil penganjur himpunan solidariti itu selepas menerima laporan berhubungnya.

Sementara itu, Hisham berkata, KKM akan memasukkan silibus kesihatan awam dalam mata pelajaran yang diajar di sekolah susulan penularan Covid-19.

“Kita melihat inisiatif yang telah kita ambil (untuk memerangi pandemik) dan bagaimana kita dapat membuat silibusnya.”

April lalu, FMT melaporkan bekas pegawai KKM dan pendidik menggesa kerajaan mempertimbangkan topik kesihatan ditekankan dalam kurikulum sekolah bagi memastikan kesediaan pelajar berdepan wabak seperti Covid-19.

Mereka mengakui pembelajaran berkaitan isu kesihatan sudah ada dalam kurikulum, namun mereka berkata, topik mengenai penyakit berjangkit boleh diperluaskan supaya pelajar mengetahui bahaya dan cara bertindak.