238 ditahan ingkar PKP

Sembilan ditahan membabitkan kesalahan aktiviti pub dan kelab malam, manakala baki 229 lagi akibat tidak mematuhi SOP.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 238 individu ditahan kerana mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 42 direman dan 196 lagi dikompaun membabitkan kesalahan aktiviti pub dan kelab malam (9) dan tidak mematuhi SOP (229).

Beliau berkata 2,174 individu yang pulang ke tanah air ditempatkan di 13 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak dan Johor sejak 24 Julai lalu hingga semalam.

Bagaimanapun, katanya, 7 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Mereka pulang dari 22 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, UK, Belanda dan Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, polis turut melakukan 1,755 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di rumah masing-masing semalam.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.