76 tabika, taska di Kedah ditutup akibat kluster Sivagangga

Anggota polis melakukan pemantauan di premis sekitar Napoh, Jitra selepas kluster baru dikenali sebagai kluster Sivagangga dikesan di Kedah membabitkan seorang pemilik kedai makan. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Sebanyak 73 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan 3 taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Parlimen Kubang Pasu ditutup hari ini berikutan penularan kes Covid-19 di daerah itu melibatkan kluster Sivagangga.

Pengarah Kemas negeri, Noor Azman Abd Rahman berkata arahan penutupan itu sebagai langkah awal di peringkat jabatan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Seramai 1,605 murid tabika dan 62 murid taska Kemas terlibat dalam penutupan selama 14 hari atau sehingga kita menerima arahan dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan. Hari ini, ibu bapa semua murid tabika dan taska diarah membawa pulang anak.

“Penutupan sementara ini juga bagi membolehkan kerja pembersihan dan nyahkuman dilakukan di semua tabika dan taska mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, antara tabika yang dipercayai mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster itu ialah Tabika Kemas Kampung Natoi, Tabika Pekan Jitra, Tabika Kampung Bemban dan Tabika Kampung Tebing.

“Kontak rapat ini melibatkan waris kepada murid yang dipercayai ke kedai makan di Napoh. Tabika Kampung Tebing ini pula terletak hanya kira-kira 500m dari kedai makan tersebut.”

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baru dikenal pasti di Kedah, iaitu kluster Sivagangga yang membabitkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan 4 pekerja.