Baik dan buruk bagi Umno selepas sabitan Najib

Seorang ahli majlis tertinggi Umno tidak rasa hukuman mahkamah akan mempengaruhi sokongan dalam Umno terhadap Najib Razak.

KOTA KINABALU: Seorang ahli majlis tertinggi Umno menjangkakan pensabitan Najib Razak akan menyaksikan pemimpin partinya menjadi sasaran pembangkang, tetapi beliau percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Bercakap dengan syarat tidak dinamakan, beliau percaya pembangkang mungkin merebut peluang untuk menyerang pemimpin Umno, terutama kerana Najib pernah menjadi perdana menteri.

“Keputusan dalam kes Najib akan memberi kesan, terutama bagi Umno, kerana Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya akan mengambil kesempatan untuk mengatakan ‘pemimpin Umno pasti korup’,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau percaya ini juga akan mendorong ahli parti merapatkan barisan.

“Walaupun dilihat ada panglima perang di peringkat atasan, mereka dan penyokong mereka akan bersatu untuk melawan isu tertentu yang boleh memudaratkan parti.

“Kes Najib ini salah satu contoh yang mana saya rasa ahli pelbagai peringkat dalam parti akan bersatu,” katanya.

Katanya, Najib masih mempunyai peluang lagi untuk membersihkan nama di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Semalam, bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas 7 tuduhan berhubung RM42 juta milik bekas unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Namun, hakim membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan Najib selesai.

Najib bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabitkan dengan tuduhan jenayah atas tindakannya ketika menjawat jawatan itu.

Ahli majlis tertinggi Umno itu tidak rasa hukuman itu akan mempengaruhi sokongan dalam Umno terhadap Najib.

“Ketika ini, tidak ada tanda-tanda yang beliau kehilangan pengaruh.

“Kesetiaan penyokongnya tidak akan beralih kepada pemimpin lain kerana ramai bersolidariti dengannya,” katanya.

Beliau juga berkata Umno tidak akan menyalahgunakan kedudukannya sebagai sebahagian daripada gabungan pemerintah untuk meminta pertolongan daripada badan kehakiman.

Tetapi, seorang pemimpin bahagian Umno di Sabah yang turut meminta tidak dinamakan berkata, parti itu mungkin mengalihkan sokongan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana keputusan mahkamah itu.

“Jika ini berlaku, kerajaan akan tumbang buat kali kedua tahun ini.

“Umno parti yang mendokong suara ahlinya. Jika ahli menyeru untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sekarang, pimpinan harus mengambil tindakan terhadap seruan tersebut,” katanya.