Belum ada penyelesaian atasi jerebu di sebalik beberapa cadangan, kata pakar

KUALA LUMPUR: Pakar perladangan yakin tindakan multilateral bagi menangani pencemaran penting walaupun usaha berterusan pelbagai pihak dari Indonesia, Malaysia, dan Singapura bagi menangani masalah jerebu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air Nagulendran Kangayatkarasu berkata lebih banyak dialog dan aktiviti perlu diadakan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan sektor swasta, masyarakat, dan pertubuhan bukan kerajaan untuk berbincang secara terbuka bagi mencari penyelesaian berkenaan.

Bercakap semasa sesi webinar yang dihoskan Sime Darby Plantation Bhd (SDP), beliau berkata isu jerebu Asean memerlukan lebih banyak penglibatan antarabangsa dan dana memandangkan ia memberi impak global.

“Kita mempunyai Perjanjian Asean Mengenai Jerebu Rentas Sempadan (ATHP) yang diratifikasi 10 anggota dan ia platform sangat penting untuk menangani isu ini berikutan prinsip kita untuk tidak campur tangan dalam urusan domestik antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, ia platform penting kepada 10 negara anggota untuk sama-sama berbincang selain mendapat sokongan antarabangsa agar ia kekal dan terus berfungsi,” katanya.

Bagaimanapun, Nagulendran melahirkan kebimbangan terdapat negara yang masih mengambil tindakan unilateral misalnya mewujudkan akta pencemaran jerebu rentas sempadan mereka sendiri.

Beliau berkata Malaysia mengambil keputusan untuk tidak membuat penyelesaian seumpama itu kerana ia mencampuri kedaulatan negara-negara lain.

Beliau berkata jerebu yang melanda Asia Tenggara pada 1997 bencana kualiti udara yang terbesar namun beberapa negara tampil bekerjasama.

“Ia kerjasama antarabangsa. Warga Jepun, Kanada, Malaysia, dan Indonesia bekerja dengan cemerlang, anggota bomba kita ke Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran. Semangat dan kerjasama seumpama itu perlu diwujudkan semula dan saya berpendapat itulah kaedah menanganinya,” katanya.

Beliau berkata penglibatan teknologi turut memainkan peranan utama sebagai antara jalan penyelesaian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Indonesia Joko Supriyono berkata berdasarkan data laporan kebakaran negaranya, amaran kebakaran Indonesia berdasarkan kawasan penggunaan tanah (2015-2019) adalah dari luar kawasan konsesi.

Pada 2019, 68% daripada amaran kebakaran berdasarkan kawasan penggunaan tanah adalah dari luar konsesi, diikuti ladang kayu pulpa (15%), konsesi minyak sawit (11%) dan konsesi pembalakan (5%).

Ketua Pegawai Kelestarian SDP, Prof Simon Lord berkata pihak berkepentingan harus bertanggungjawab walaupun konsesi minyak sawit hanya menyumbang sebanyak 11%.

“Kita perlu menangani semua masalah ini dan tidak boleh melakukannya bersendirian. Wujud saranan untuk mengikuti Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit dan bekerjasama dengan industri serta kerajaan.

“Kita telah mendengar beberapa penyelesaian, namun kita masih belum mempunyai penyelesaian bagi mengatasi isu jerebu dan perlu mengambil tindakan yang berbeza.”