Jho Low tiada di Macau, kata Kedutaan China

Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, Low Taek Jho sedang bersembunyi di Macau. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Kedutaan China di Kuala Lumpur menafikan kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang Low Taek Jho lebih dikenali sebagai Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

Kedutaan itu berkata, pihak berkuasa China sudah menyiasat semua petunjuk diberikan polis Malaysia yang Jho Low berada di Macau, tetapi tidak dapat mengesan ahli perniagaan buruan itu untuk membawanya pulang ke negara ini dan didakwa atas peranannya dalam skandal 1MDB.

“Polis China sudah mengambil tindakan susulan dan menyiasat dengan teliti setiap petunjuk relevan yang kami terima daripada polis Malaysia dengan ikhlas serta bertanggungjawab,” kata kedutaan itu dipetik Malaysiakini.

“Malangnya, tiada individu berkaitan yang ditemui dan pihak Malaysia sudah dimaklumkan. Dakwaan di atas tidak berasas dan tidak boleh diterima.”

Terdahulu, Hamid hari ini dilaporkan berkata, semua petunjuk menunjukkan Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, Jho Low memainkan peranan penting dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun bank bekas perdana menteri, Najib Razak.

Susulan itu, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan dana bekas anak syarikat 1MDB itu.