Kerajaan pertimbang pinda akta kerja, semak bayaran gaji setimpal

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata pindaan itu akan dibuat mengikut Akta Kerja 1955.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia bercadang mewujudkan peruntukan baru berhubung pelaksanaan waktu kerja bagi membantu pekerja mendapat bayaran gaji setimpal.

Timbalan Menterinya Awang Hashim berkata, pindaan itu akan dibuat mengikut Akta Kerja 1955.

Katanya, cadangan itu dibuat selari dengan pendekatan normal baharu yang diguna pakai dalam mendepani Covid-19.

“Peruntukan ini akan memperincikan berhubung permintaan bertulis pekerja kepada majikannya untuk mengubah terma dan syarat pekerjaan pekerja terbabit berhubung dengan fleksibiliti kerja pekerja berkenaan.

“Ini termasuklah jam kerja atau hari kerja dan tempat pekerjaan mengikut syarat tertentu yang dipersetujui kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos perbelanjaan seseorang pekerja dalam menjalankan tugas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jugah Anak [email protected] (Bebas-Lubok Antu) yang bertanya sama ada kerajaan akan mengkaji undang-undang buruh dan memperbaharui pasaran buruh.

Ia berikutan hasil kajian mendapati tenaga kerja di Malaysia tidak menerima bayaran gaji setimpal.