Kerajaan tanggung RM90 sehari bagi setiap PATI, kata timbalan menteri KDN

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Ismail Mohamed Said berkata walaupun negara tidak menandatangani protokol itu tetapi bantuan diberi atas sifat perikemanusiaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kos RM90 sehari bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan kerana menceroboh sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Ismail Mohamed Said berkata, ia bagi memastikan hak asasi PATI terpelihara termasuk makanan buat mereka, ubat-ubatan dan pakaian.

“Semasa Covid-19, kerajaan menghalang kemasukan PATI dan memastikan sempadan negara tidak dimasuki pelarian sama ada dari Myanmar atau negara lain.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memantau perairan, namun tidak mengusir secara keras pendatang tapi memberi bantuan makanan dan kesihatan kepada mereka sebelum diminta keluar dari perairan Malaysia.

“Walaupun kita bukan negara menandatangani protokol itu, tapi kita beri bantuan atas sifat perikemanusiaan. Apabila mereka mendarat, kita letakkan di depot untuk perlindungan sementara dan beri bantuan sesuai, kosnya RM90 sehari termasuk makanan, pakaian dan pemeriksaan kesihatannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa melarang pelarian Rohingya mendarat di perairan Langkawi baru-baru ini dan atas dasar kemanusiaan, adakah kerajaan akan mempertimbangkan pendekatan lain menghalang pencerobohan.

Dalam pada itu beliau berkata, pelan holistik keselamatan yang menekankan lima strategik dilaksana kerajaan untuk terus memastikan perairan negara terpelihara dan membabitkan kerjasama bersepadu semua agensi keselamatan berkaitan.

“Memang lorong tikus menjadi masalah besar dalam mengekang pencerobohan dan setakat ini 546 lorong dikenal pasti di seluruh negara dengan 169 daripadanya di Kelantan manakala 5 di Bachok.

“Tetapi lorong ini selalu berubah dan tidak statik, ini jadi masalah kepada kita. Kalau di Sabah, Sarawak bersempadan dengan Kalimantan, lagi sukar kerana kawasan ladang sawit yang tiada persempadanan jelas.

“Sebab itu perlunya pelan strategik, juga operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi keselamatan,” katanya menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok).

Katanya, seramai 1,622 orang berjaya ditahan kerana menceroboh negara dengan rampasan barangan bernilai RM31.5 juta sepanjang Op Benteng sejak Mei lalu.

Ismail turut menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang bersekongkol dengan tekong mahu pun penyeludup PATI.

“Kita bertegas dan mereka yang terbabit akan dikenakan tindakan, hukuman berat,” katanya.