Lanjutan moratorium diteruskan untuk golongan memerlukan

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata antara golongan yang mendapat bantuan itu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baru.

“Anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan. Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan menteri kewangan dan gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh sebahagian rakyat yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium 6 bulan berakhir pada September.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan bantuan bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji terjejas atau berkurangan akibat Covid-19.

Bagi golongan itu, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya.

Di samping itu, bank memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri, yang turut terkesan akibat Covid-19.

Bantuan yang ditawarkan bergantung kepada situasi masing-masing.

“Ini termasuk membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan,” katanya.

Pilihan lain adalah pelepasan sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

Tentang pinjaman sewa beli pula, bank akan menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian, tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

“Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah,” katanya.

Langkah ini dijangka memanfaatkan 3 juta individu dan PKS, kata perdana menteri.

Beliau berharap lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini akan dapat meringankan beban rakyat yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Muhyiddin berkata sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya.

“Peminjam yang layak bolehlah menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos,” katanya.