Laporan polis terhadap ahli Parlimen tak ikut SOP Covid-19

Ahli Parlimen yang hadir ke mahkamah untuk menunjukkan sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak semalam didesak menjalani ujian Covid-19.

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis mengenai ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh beberapa ahli Parlimen yang hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak semalam.

Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan P Prabakaran berkata, pihaknya percaya ahli Parlimen terbabit melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit

Katanya, ahli Parlimen termasuk Ahmad Maslan (Pontian), Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, tidak bertanggungjawab dan tidak memberi contoh yang baik kepada rakyat dengan menghadiri perhimpunan besar di tengah-tengah pandemik Covid-19.

“Najib boleh memasuki perkarangan mahkamah dengan kereta dan tidak perlu bersalaman dengan penyokongnya,” kata Prabakaran selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul.

Dia ditemani Ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam dan Ketua Pemuda DAP Wilayah Persekutuan, Lee Bing Hong.

Prabakaran menggesa ahli Parlimen terbabit menjalani ujian Covid-19.

“Ini isu kesihatan. Apa akan berlaku jika salah seorang daripada mereka positif Covid-19 dan menghadiri Parlimen? Kita semua boleh dijangkiti,” katanya.

Semalam, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut membangkitkan isu kesihatan di Dewan Rakyat, dengan menyatakan beberapa ahli Parlimen yang hadir ke mahkamah tanpa memakai pelitup muka berada di Parlimen.

Katanya, mereka termasuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Bagaimanapun, Azeez menafikan dia tidak memakai pelitup muka di mahkamah.

Sementara itu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) juga menyuarakan kebimbangannya terhadap perhimpunan besar itu ketika membahaskan titah diraja, dengan mengatakan ia boleh mencetuskan kluster baru Covid-19.

Katanya, langkah pencegahan sepatutnya diambil untuk memastikan keselamatan orang ramai di sana.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut menyatakan kekecewaannya terhadap ketidakpatuhan SOP oleh penyokong Najib pada perhimpunan itu.

Katanya, Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat setiap hari supaya mematuhi penjarakan sosial, menggunakan pelitup muka di tempat awam yang sesak dan sering mencuci atau sanitasi tangan mereka.

“Amat menyedihkan apabila melihat keadaan ini yang mana tidak ada kawalan kendiri,” katanya dalam catata di Twitter.

Najib berada di Mahkamah Tinggi semalam untuk keputusan 7 tuduhan rasuah berkaitan RM42 juta milik SRC International.

Beliau memasuki perkarangan mahkamah dengan berjalan dari Masjid Wilayah, dikelilingi ratusan penyokong.