Lebih 1.54 juta pekerja asing pegang kad PLKS

KUALA LUMPUR: Lebih 1.54 juta pekerja asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah berkenaan, 2,766 pemegang PLKS ditahan berikutan tamat tempoh permit.

“Kita memberi peluang dengan memberikan pas khas selama 30 hari bagi membolehkan pekerja asing ini untuk melanjutkan tempoh PLKS yang sah disebabkan perintah kawalan pergerakan, selain permintaan daripada majikan yang memerlukan pekerja,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang ingin tahu jumlah pekerja asing yang sah tetapi masih bekerja walaupun permit tamat tempoh.

Ismail berkata kebenaran melanjutkan tempoh PLKS tertakluk kepada saringan kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan prosedur imigresen.

Sementara itu, sehingga kini seramai 15,531 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditempatkan di depot tahanan imigresen dan 786 daripadanya positif.

“Semua 786 yang positif itu sudah sembuh dan kita mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain yang bertungkus lumus memastikan warga asing ini sihat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mendapat kerjasama baik daripada negara asal pendatang asing ini dalam usaha penghantaran pulang.

Sementara itu, kementerian sedia mengkaji kad identiti menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memudahkan kawal selia pekerja asing, seperti di Singapura dan Qatar.