Mukhriz sangkal dakwaan hakim perbicaraan Najib ahli keluarganya

Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA: Mukhriz Mahathir menyangkal dakwaan yang tersebar di media sosial mendakwa hakim perbicaraan kes Najib Razak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bapanya, Dr Mahathir Mohamad.

Mengatakan ia langsung tidak berasas, Mukhriz mengingatkan jangan membuat tuduhan bukan-bukan.

“Peguam negara patut siasat tohmahan ini kerana jelas menghina institusi kehakiman,” katanya di Twitter.

Dakwaan itu mengatakan hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai hubungan dengan Mahathir menerusi isterinya, Dr Siti Hasmah Ali.

Dakwaan itu muncul selepas Najib didapati bersalah atas semua 7 tuduhan berhubung RM42 juta milik bekas unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu, yang sedang merayu pensabitan tersebut, dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.