Nik Abduh kagum lihat semangat juang Najib dalam kes rasuah SRC

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan Najib Razak sebagai pejuang.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menyifatkan Najib Razak sebagai pejuang, selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih menghormati Najib dan kagum melihat semangat perjuangan bekas perdana menteri itu untuk menegakkan kebenaran serta membersihkan namanya.

“Keputusan semalam adalah satu daripada 2 laluan di depan yang sudah dijangka sejak awal perjuangan. Perjuangan tunjang kehidupan.

“Saya tidak tahu siapa yang benar, mana satu yang batil, tetapi saya amat tahu bahawa Allah memegang dan memiliki kebenaran itu.

“Dia pasti mempertahankan hamba-Nya yang benar dan berjuang deminya,” tulisnya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Semalam, Najib melafazkan sumpah laknatnya sekali lagi yang beliau tidak meminta atau ditawarkan RM42 juta.

Beliau yang kecewa dengan hukuman dijatuhkan ke atasnya semalam, akan memfailkan rayuan secepat mungkin untuk membersihkan namanya.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.