Pembukaan semula 213 sekolah di 3 daerah Sarawak ditunda lagi

Sesi persekolahan pelajar tadika, Tingkatan 5 dan 6 atas di 3 daerah Sarawak diteruskan seperti biasa.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengumumkan pembukaan semula lebih 200 sekolah di Kuching, Samarahan dan Padawan ditangguhkan sekali lagi akibat kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini berkata, 213 sekolah di 3 daerah itu hanya akan dibuka semula pada 17 Ogos berbanding 3 Ogos ini.

Ia membabitkan kelas peralihan, Tingkatan 1 hingga 4, 6 rendah dan Tahun 1 hingga 6, tetapi tidak menjejaskan pelajar tadika, Tingkatan 5 dan 6 atas.

Mengenai pendaftaran pelajar matrikulasi pada 3 Ogos ini, katanya, ia akan bekerjasama dengan Sarawak Volunteer, sebuah NGO untuk membantu ibu bapa yang tidak dapat mendaftarkan anak mereka akibat SOP terbaru kemasukan ke Sarawak, termasuk orang Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke negeri itu.

“Sarawak Volunteer akan membantu bermula dari pelajar itu mendarat di lapangan terbang ke pusat matrikulasi mereka.”

Terdahulu, kerajaan negeri memutuskan mulai 1 hingga 14 Ogos ini, semua warganegara termasuk orang Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di stesen kuarantin setibanya mereka di Sarawak dan menjalani saringan Covid-19.

Mengenai sekatan pergerakan antara zon di Sarawak yang akan dilaksanakan dalam tempoh sama, mereka yang terbabit dalam kategori perkhidmatan penting perlu mendapatkan surat kelulusan daripada ketua jabatan.

“Mereka juga perlu mendapatkan permit kebenaran daripada polis sebelum membeli tiket penerbangan, bas atau bot ekspres.”

Sarawak merekodkan 2 kes baru Covid-19 di Kuching dan Serian hari ini, menjadikan keseluruhannya 677 kes.

Jumlah kematian di negeri itu kekal pada 19 orang.

Sarawak turut mempunyai 10 kluster aktif dengan 9 daripadanya dilaporkan di Kuching dan baki satu di Bintulu.

Ia merangkumi kluster syarikat kejuruteraaan (8 kes), kluster Mambong (7), kluster pusat perubatan (3), kluster Jupiter (3), kluster pasar Stutong (7), kluster jeti Kuching (2), kluster Sentosa (31), kluster PUI Melbourne (2), kluster syarikat pembinaan Kuching (2) dan kluster pasar Satok (4).