Pertikaian Felda-Rajawali dibawa ke Pusat Timbang Tara Singapura, kata menteri

PT Rajawali Capital International mencabar keputusan Felda menjual balik 37% sahamnya dalam Eagle High.

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan PT Eagle High Plantations TPK (Eagle High) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sudah dibawa ke prosiding timbang tara di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Oleh itu, beliau tidak dapat mengulas perkara berkenaan demi menghormati prosiding kes itu.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis untuk pertanyaan Tony Pua (DAP-Damansara) dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau ingin tahu syarat utama pembelian saham Eagle High oleh Felda yang bernilai AS$505 juta dan tindakan Felda menuntut kembali pelaburan itu melalui “put option” dalam perjanjian yang dimeterai.

April tahun lalu, Felda mengemukakan notis menjual balik 37% pegangan dalam Eagle High kepada PT Rajawali Capital International.

Bagaimanapun, katanya, PT Rajawali Capital International mencabar penjualan balik itu.