PKR akan ambil tindakan tegas ke atas Adun sokong Musa Aman

Kenny Chua (4 dari kiri) menghadiri sidang media Musa Aman di rumah bekas ketua menteri Sabah itu di Kota Kinabalu hari ini.

PETALING JAYA: PKR akan mengambil tindakan terhadap Adun Inanam merangkap Naib Ketua PKR Sabah, Kenny Chua kerana menyokong bekas ketua menteri, Musa Aman untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.

“Tindakan tegas akan diambil,” kata Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin secara ringkas kepada FMT.

Chua antara Adun yang menghadiri sidang media Musa petang tadi untuk mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Sabah yang baru selepas mendapat sokongan mencukupi daripada Adun di negeri itu.

Musa dilaporkan berkata, beliau sudah menerima surah akuan daripada Adun yang mengesahkan pendirian mereka untuk menyertai gabungan baru yang akan diketuainya.

Beliau berkata, gabungan itu merangkumi wakil rakyat daripada Umno Sabah, PPBM, STAR, PBS dan Adun PKR, DAP, Warisan serta Upko.

Katanya, kerajaan negeri baru itu, jika berjaya ditubuhkan, akan tampil dengan dasar lebih baik untuk membebaskan Sabah daripada keadaan ekonomi sedia ada disebabkan kerajaan pimpinan Warisan.