Program subsidi petrol tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) dan isu alam sekitar antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-11 hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat, isu PSP terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan diajukan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) kepada menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna untuk menyatakan tarikh baharu pelaksanaan PSP selepas ia ditangguhkan Kabinet.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula bertanyakan menteri alam sekitar dan air mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pemantauan aktiviti perladangan bagi memastikan alam sekitar dapat terpelihara daripada pencemaran serta statistik tindakan diambil terhadap syarikat yang mencemarkan alam sekitar.

Isu alam sekitar terus disentuh Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang bertanya mengenai usaha penghantaran balik kontena plastik haram ke negara asal seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Persoalan itu antara lain turut membangkitkan jumlah kontena yang dihantar balik dari Mac hingga Jun 2020 dan perincian negara terlibat.

Turut dijangka menjadi perhatian ialah persoalan yang dibangkitkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) kepada menteri dalam negeri berhubung langkah strategik bagi mengesan lorong tikus aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin.

Sidang Dewan pada hari terakhir minggu ketiga ini juga, akan menyambung perbahasan titah Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.