Puad bertindak melulu, tidak cermat, kata ahli MPT PPBM

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Faiz Na’aman berkata Puad Zarkashi seperti tidak senang dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak ia mula ditubuhkan selepas Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Faiz Na’aman menyelar kenyataan Puad Zarkashi yang menyifatkan apa menimpa Najib Razak semalam adalah “dendam kesumat”, sebagai tindakan melulu dan tidak cermat.

Beliau berkata, jika ditafsir dengan serius ia boleh dianggap sebagai suatu bentuk hasutan yang berlandaskan ketaksuban terhadap individu dan kelompok tertentu.

Katanya, Puad seperti tidak senang dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak ia mula ditubuhkan selepas Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

“Kenyataan yang keluar dari beliau berkenaan perihal kerajaan hari ini di media lebih bersifat ‘friendly fire’ dari memperkukuhkan permuafakatan yang didambakan oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya kaum pribumi.

“Apakah Puad tidak menghormati kedudukan dan keputusan presiden parti sendiri yang turut menyokong penubuhan kerajaan Malaysia pada hari ini? Walhal ramai yang tahu perbicaraan kes SRC-1MDB Najib itu berlangsung sebelum Muhyiddin angkat sumpah sebagai perdana menteri lagi.

“Malah bekas perdana menteri itu secara terbuka mahu dirinya terus menghadapi perbicaraan mahkamah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Lalu di mana yang dikatakan dendam kesumat itu?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, FMT melaporkan Puad berkata di sebalik apa yang menimpa Najib adalah dendam kesumat, tidak lama selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bekas perdana menteri itu bersalah atas semua tuduhan berkait dana SRC International.

“Najib pasti maklum kenapa itu berlaku kepadanya. Ada yang tersirat iaitu dendam kesumat,” kata bekas wakil rakyat Batu Pahat itu di Facebook, semalam.

Puad juga mendakwa pemimpin tertinggi PPBM berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Hari ini (Semalam) orang yang tersenyum puas apabila Najib dihukum bersalah ialah Muhyiddin bukan Mahathir,” katanya, memetik nama Presiden PPBM, Muhyiddin, dan seteru Najib, Dr Mahathir Mohamad.

Puad berkata, Muhyiddin pasti berbangga kerana walaupun Najib menandatangani akuan bersumpah menyokong dia sebagai perdana menteri ke-8 tetapi dia tidak boleh dibeli dengan sokongan itu.

Justeru, Faiz mempersoalkan kenyataan Puad itu dengan berkata: “Adakah Puad mahu YB Muhyiddin campur tangan dalam kes mahkamah itu hanya kerana sokongan ahli Parlimen Pekan tersebut terhadap perdana Menteri?

“Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia yang belajar sejarah dan faham sistem pentadbiran negara ini yang memisahkan mahkamah dari politik perlu akur serta menghormati kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Sebagai individu yang sentiasa mempertahankan kemuliaan mahkamah daripada sebarang campur tangan politik, Faiz menyeru pemimpin Muafakat Nasional dan yang menyokong kerajaan PN lebih bersabar, rasional, dan matang dalam berbicara.

“Ingatlah bahawa parti politik ini hanyalah wadah untuk kita memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara, dan ianya bermula dari suatu penyatuan untuk sama-sama bergerak ke hadapan,” katanya.

Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 7 kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya sehingga rayuan didengar dan diputuskan.