Putrajaya kekal pembekuan ambil pekerja asing hingga akhir tahun

Kementerian Sumber Manusia berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan majikan, khususnya daripada sektor berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian apabila tempoh pembekuan itu berakhir.

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia berkata, dasar pembekuan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini masih kekal kerana mengambil kira penularan pandemik Covid-19 dan impaknya ke atas pasaran pekerjaan tempatan.

Katanya, kerajaan akan mempertimbangkan permohonan majikan, khususnya daripada sektor berkeperluan tinggi terhadap pekerja asing seperti pembinaan, perladangan dan pertanian apabila tempoh pembekuan itu berakhir.

“Pertimbangan ini akan turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan berhubung status pandemik Covid-19 dan pasaran pekerjaan tempatan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan itu susulan kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini yang kerajaan sudah memberi kebenaran kepada majikan dalam sektor pembinaan, perladangan dan pertanian mengambil pekerja asing.

Awang menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang berhubung inisiatif kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini.

Kini, terdapat lebih 2 juta pekerja asing berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia.

Bulan lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengumumkan tiada pengambilan baru pekerja asing dalam semua sektor sehingga akhir tahun ini kerana warga tempatan perlu diberikan keutamaan untuk mengisi kekosongan sedia ada.