Remaja obses permainan video ditemui mati tergantung

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Mohd Izaan Abdullah berkata mangsa menghabiskan banyak masa dengan permainan video di telefon pintarnya.

KOTA KINABALU: Seorang remaja ditemui tergantung dipercayai selepas ditegur ahli keluarganya kerana sering bermain permainan video di telefon pintarnya di daerah Kota Marudu, utara Sabah.

Mayat lelaki berusia 17 tahun itu ditemui tergantung di siling garaj sebuah kuarters guru kira-kira 6 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Mohd Izaan Abdullah berkata, remaja itu tinggal bersama saudaranya di daerah Kudat sebelum kejadian itu berlaku.

Remaja itu dihantar ke kuarters guru itu Jumaat lepas oleh ahli keluarga yang tidak tahan dengan tabiatnya.

“Sejak itu, remaja itu tinggal bersama bapa saudaranya yang bekerja di sebuah sekolah rendah,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa masih menghabiskan banyak masa dengan permainan video di telefon pintarnya.

“Kali terakhir remaja itu dilihat sekitar tengah malam 2 hari lepas.”

Izaan berkata, polis masih menyiasat motif di sebalik kejadian itu dan mayatnya dihantar ke hospital daerah untuk saringan Covid-19 sebelum dihantar bagi bedah siasat.