Sahabat sejati PAS ziarah Najib

Bekas Perdana Menteri Najib Razak bersama ahli pimpinan tertinggi PAS. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak menerima kunjungan tetamu yang disifatkannya sebagai “sahabat sejati” di kediaman beliau malam tadi.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mensabitkan Najib bersalah terhadap 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menerusi hantaran gambar di akaun Facebook beliau, Najib dilihat berdiri bersama beberapa ahli pimpinan tertinggi PAS.

“Saya ada tetamu lewat malam tadi. Tidak perlulah saya mengulas panjang.

“Sahabat sejati bukan sahaja mereka yang bersama ketika susah atau senang. Tetapi mereka yang sentiasa mendoakan kita,” tulis beliau.

Antara yang hadir melawat beliau Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, setiausaha agung Takiyuddin Hassan dan ahli majlis Syura, Khairuddin Aman Razali.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai pertemuan itu, hanya menyatakan sahabat sejati sukar ditemui.

Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.