Solat sunat Aidiladha di Selangor, siapa dahulu dia dapat

Pelaksanaan solat sunat Aidiladha Jumaat ini bagi semua masjid dan surau di Selangor adalah pada pukul 8 pagi  

SHAH ALAM: Pelaksanaan solat sunat Aidiladha Jumaat ini di semua masjid dan surau di Selangor akan dijalankan pada pukul 8 pagi dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka, sehingga kapasiti jemaah sebenar ruang solat dipenuhi, dan penjarakan sosial dipatuhi.

Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan supaya pelaksanaan solat sunat itu dijalankan menggunakan kaedah berkenaan dengan peraturan penjarakan sosial 1.5m dipatuhi, kecuali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang menggunakan sistem E-Pass.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid dan surau di negeri ini adalah pada pukul 8 pagi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kehadiran jemaah wanita hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan had seramai 220 orang manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula seramai 250 orang di ruang solat khas masing-masing.

“Jemaah dinasihatkan untuk kekal berdisiplin dan mematuhi langkah pencegahan iaitu perlu berada dalam keadaan berwuduk, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, berada dalam keadaan sihat dan tidak berjabat tangan dalam kalangan jemaah,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin sebelum ini iaitu pelaksanaan ibadah korban hanya akan dilaksanakan di masjid negeri, masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid institusi, masjid kariah atau tempat yang sudah ditentukan pihak masjid.