Umno, PN tak campur tangan kes Najib, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno/BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat oleh Najib Razak berjalan lancar, bebas serta adil tanpa wujud unsur campur tangan oleh mana-mana pihak.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencampur tangan proses penghakiman Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah Najib Razak membabitkan RM42 juta dana SRC International.

“Umno/BN akan menanggapi keputusan penghakiman ini dengan cara terbaik, di samping mempertahankan setia kawan bersama sekutu-sekutu dalam BN, Muafakat Nasional dan PN.

“Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan,” tulisnya di Facebook malam ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara, jika gagal membayar denda itu.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan 3 dakwaan pengubahan wang.

Tetapi, hukuman penjara itu akan dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan 12 tahun.

Hakim turut membenarkan permohonan pasukan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan Najib di Mahkamah Rayuan.

Tetapi, jumlah ikat jamin dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM2 juta dengan 2 penjamin.

Hari ini, Zahid berkata, Umno menghormati keputusan Nazlan, tetapi penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan berlaku kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta.

Katanya, kes itu belum berakhir kerana bekas perdana menteri itu mempunyai hak untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

“Umno/BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur campur tangan oleh mana-mana pihak.”

Beliau berkata, Umno akan terus memberi penerangan kepada ahli berhubung perkara sebenar dalam kes Najib.