Wakil PH cadang kerajaan bagi baucar RM500 kepada rakyat

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata langkah itu lebih memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin memberikan baucar membeli-belah kepada seluruh rakyat.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, langkah itu lebih memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Saya cadang kerajaan memberi baucar beli belah percuma mungkin bernilai RM500, mungkin bernilai RM100 kepada rakyat Malaysia untuk membeli barang di seluruh Malaysia di kedai terpilih,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menawarkan pas pelancongan percuma kepada rakyat untuk melancong di sekitar ibu kota.

“Semua industri pelancongan menderita, tiada pelancong asing dibenar ke Malaysia, ada banyak pekerja terlibat dalam industri pelancongan hilang kerja, ada kedai dalam industri pelancongan terpaksa tutup kedai.

“Saya minta kerajaan menyediakan pas melawat secara percuma kepada pelancong tempatan, mereka boleh datang ke ibu kota secara percuma, melancong di KLCC, menara KL, taman burung, muzium negara dan sebagainya,” katanya.

Katanya, cadangan itu boleh membantu merancakkan ekonomi negara.

“Kalau bukan dalam kadar besar tapi sedikit sebanyak merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.

Menerusi ucapannya, beliau menggesa kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengurangkan atau mengecualikan kadar bayaran cukai taksiran kepada pemilik premis sekitar Kuala Lumpur.