Wakil PH desak kerajaan tangkap Jho Low, Ahmad Maslan sokong

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil perhatian berhubung permintaan untuk menahan ahli perniagaan dikehendaki Low Taek Jho atau Jho Low secepat mungkin.

Shamsul Iskandar Md Akin (PH-Hang Tuah Jaya) membuat desakan itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menjatuhi hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

“Sekarang, bekas perdana menteri (Najib) dah kena (hukuman), yang belum kena lagi ni Jho Low.

“Sampai hari ini, inilah Jho Low tok dalang nombor wahid (1) yang belum lagi kerajaan tangkap atau bekerjasama dengan mana-mana badan dunia, yang telah mengkhianati negara ini dengan merompak hasil kekayaan negara dan rakyat,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) bangkit mencelah dengan memetik kenyataan terbaru Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai berkata, pihak berkuasa Malaysia percaya Low kini berada di Macau.

Fahmi berkata, kerjasama antara Malaysia dan China perlu untuk memastikan individu yang mengakibatkan imej negara tercalar dibawa pulang ke negara ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Shamsul kemudian meneruskan ucapannya sambil berkata, negara perlu mempunyai kesungguhan politik untuk mendakwa mereka yang melakukan jenayah rasuah.

Ucapan Shamsul turut dicelah Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bersetuju supaya ahli perniagaan dalam buruan itu yang dikaitkan dengan 1MDB segera ditangkap.

Katanya, bukan Low saja, terdapat beberapa individu lain perlu dibawa pulang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil.

“Bukan Jho Low saja. Ada beberapa orang lagi yang lari, pelbagai bangsa lari akibat daripada menipu mereka lari.

“Yang Melayu pun ada, Nik Faisal misalnya dan beberapa orang lagi yang lari.. bukan hanya Jho Low.

“Jadi, semua itu sepatutnya kena bawa balik Malaysia, tangkap dan pastikan mereka nyatakan apa yang benar,” kata Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan turut menegaskan, Shamsul tidak sepatutnya melihat keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib semalam sebagai pengakhiran dan menuduh bekas perdana menteri itu bersalah, kerana proses rayuan masih berjalan.

“YB (Yang Berhormat) Port Dickson dibebaskan Mahkamah Tinggi dalam kes liwat, tapi Mahkamah Rayuan 3-0 tidak bersetuju keputusan itu dan Mahkamah Persekutuan 5-0 hakim tidak bersetuju kepada keputusan itu.

“Semalam Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu (hukum Najib) dan saya yakin YB Pekan akan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Jadi, tidak semesti apa keputusan Mahkamah Tinggi sama dengan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan sebagaimana berlaku kepada YB Port Dickson,” katanya.

Terdahulu, polis mengesyaki Low bersembunyi di Macau, di sebalik usaha membawanya pulang untuk dibawa ke muka pengadilan atas peranannya berkaitan 1MDB.

“Ada petunjuk kuat yang dia ada di sana,” kata Abdul Hamid melalui SMS kepada Bloomberg.

Hamid pada Februari berkata, pihaknya mendapat maklumat yang Low berada di Wuhan.

Semalam, Mahkamah Tinggi menyatakan Low memainkan peranan penting dalam pemindahan dana RM42 juta daripada bekas unit 1MDB ke akaun Najib.

Najib didapati bersalah atas 7 tuduhan dalam perbicaraan itu dan berdepan hukuman 12 tahun penjara, serta denda RM210 juta.