Wakil rakyat hadir solidariti Najib tidak boleh dihalang masuk Parlimen, kata speaker

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menasihatkan semua wakil rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergerakan wakil rakyat ketika berada di luar sidang Parlimen termasuk menyertai himpunan solidariti di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Speaker Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya tidak boleh menghalang wakil rakyat yang terbabit dalam himpunan itu daripada menghadiri persidangan Parlimen selagi mereka tidak dibuktikan mengalami gejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 yang menyertai perhimpunan.

“Sebenarnya saya ada nampak dalam berita semalam, tapi kita tidak tahu orang ramai yang berkumpul ada Covid-19, kita juga tidak tahu kalau ada Covid-19 mereka sudah menjangkiti YB (Yang Berhormat) yang hadir himpunan semalam.

“Jadi, kita tidak ada kuasa menghalang pergerakan YB di luar dewan dan sebagainya, saya rasa selagi tidak dibuktikan mereka ada gejala Covid-19 maka kita tidak boleh halang dari masuk dewan,” katanya.

Beliau mengulas isu dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta speaker menjelaskan sama ada wakil rakyat yang menghadiri himpunan solidariti untuk Najib Razak perlu dihalang menghadiri sidang Parlimen dan perlu dikuarantin kerana dibimbangi dijangkiti Covid-19.

Azhar dalam penjelasannya turut menasihatkan semua wakil rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

“Saya selalu tekan pada setiap masa agar YB patuhi SOP,” katanya.

Rayer kemudian sekali lagi bangkit memaklumkan, tidak adil jika rakyat diminta mematuhi SOP sebaliknya pemimpin tidak melakukannya.

Azhar turut memaklumkan sama ada wakil rakyat terbabit perlu melakukan ujian saringan tertakluk kepada arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

Antara yang hadir pada himpunan itu Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Ahmad Maslan (BN-Pontian), Azeez Rahim (BN-Baling) dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang.

Sementara itu, Ahmad Maslan ketika bangkit mencelah, menyifatkan pendirian Rayer berat sebelah apabila desakan sama untuk menjalani kuarantin tidak dibuat ke atas wakil rakyat pembangkang termasuk Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) yang menghadiri program Bersatu Blackout di Kedah sebelum ini yang tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Jelutong tidak adil, adakah kalau saya diminta kuarantin, Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu yang hadir himpunan Bersatu Blackout juga kena kuarantin, kenapa tak buat seruan sama, berat sebelah,” katanya.

Semalam, ribuan penyokong Najib berkumpul dan tidak mengamalkan penjarakan sosial bagi mengelak penularan Covid-19 ketika berhimpun di perkarangan kompleks mahkamah.