Yamani Hafez pengerusi baharu Felcra Berhad

Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa berkelulusan sarjana muda perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand dan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan Universiti Teknologi Mara.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa dilantik sebagai pengerusi Felcra Berhad (Felcra) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan beliau menggantikan Shabudin Yahya yang melepaskan jawatan itu selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 6 Julai lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Abd Latiff Ahmad yang mengumumkan pelantikan itu berkata, beliau yakin dengan pengalaman luas Yamani Hafez dalam sektor korporat sebelum ini mampu memperkenalkan semangat inovasi dan inisiatif tinggi kepada agensi itu.

“Pelantikan ini selari dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menggalakkan dan memacu pertumbuhan usahawan tempatan yang berjiwa global, membawa produk terbaik dari Malaysia ke persada dunia.

“Demi menangani cabaran ekonomi terutama pasca-PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), usaha yang lebih mantap perlu ditempa demi memangkinkan peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan rakyat, terutama masyarakat luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap Yamani Hafez mampu membawa warga Felcra terus maju mengorak langkah proaktif dalam menangani kebiasaan baharu dan cabaran ekonomi, demi kemajuan dan pertumbuhan syarikat itu.

Yamani Hafez, 42, berkelulusan sarjana muda perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand (2000) dan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) (2012).