45% tanah industri diluluskan Terengganu berdepan sita

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengenal pasti kira-kira 777 lot tanah industri atau 45% daripada yang diluluskan berkemungkinan disita selepas pemiliknya gagal mengusahakan tanah itu dalam tempoh yang diberikan.

Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Terengganu Tengku Hassan Tengku Omar berkata jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan itu.

Proses pemutihan ini bagi memudahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperkenalkan sistem pintar dalam pengurusan industri pada masa depan, katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai perjanjian usaha sama pembangunan Terengganu Eco City antara Ta Win Holdings Berhad dan PMINT) semalam.

“Proses pemutihan ini sangat penting untuk PMINT mendapatkan data-data terkini, pemilikan tanah industri, sektor yang bersesuaian serta status tanah industri melalui semua Pejabat Tanah dan Daerah serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Kita mahu hanya pihak yang benar-benar berminat dan serius sahaja membuat pelaburan di Terengganu mengusahakan tanah di taman perindustrian sedia ada,” katanya.