Bekas CEO Petronas dilantik pengerusi Sapura

Shamsul Azhar Abbas kini adalah pengerusi Sapura Energy Bhd selepas 40 tahun berkhidmat di Petronas. (Bernama pic)

PETALING JAYA: Sapura Energy Bhd hari ini mengumumkan pelantikan bekas presiden dan CEO Petronas Shamsul Azhar Abbas sebagai pengerusinya yang baru.

Shamsul, yang pelantikannya berkuat kuasa serta-merta menggantikan Hamid Bugo yang bersara selepas 8 tahun mengetuai syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu.

Dalam satu kenyataan, presiden dan CEO Sapura, Shahril Shamsuddin berkata, pengalaman 40 tahun Shamsul di Petronas bermakna Sapura akan memperoleh “pemain utama” dalam industri minyak dan gas untuk memimpin lembaga pengarahnya.

“Sapura Energy akan mendapat manfaat daripada pengalaman kepimpinan, kepakaran mendalam dan kebijakan strategik beliau bagi membantu syarikat melangkah ke tahap pertumbuhan berikutnya,” kata Shahril yang juga mengucapkan terima kasih kepada Hamid kerana komitmen beliau sebelum ini.

Sewaktu berada di Petronas, Shamsul memimpin syarikat minyak negara itu dalam projek penanda aras strategik seperti Projek Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan Projek Kemudahan LNG Terapung Petronas.

Beliau juga berperanan besar dalam pengembangan global Petronas melalui pengambialihan Progress Energy Canada dan pembangunan gas shale kepada LNG melalui projek LNG Pacific North West.

Shamsul merupakan pengarah penama Permodalan Nasional Berhad (PNB). PNB dan sekutunya menguasai 40% pegangan dalam Sapura.