DUN Sabah rasmi bubar hari ini

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dikehendaki bubar hari ini, menurut warta kerajaan negeri yang ditandatangani Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan dikongsi dengan media.

Dalam warta yang dikeluarkan itu menyebut, pembubaran DUN dibuat mengikut Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah dan berkuat kuasa hari ini.

Warta yang diterbitkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong itu adalah mengenai perkenan Juhar membubarkan DUN pada 30 Julai ini.

“Bahawasanya Fasal (2) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri.’

”Maka oleh yang demikian saya, Juhar Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada saya dengan ini mengisytihar Dewan Undangan Negeri Sabah yang ke-15 pada 30 Julai 2020,” memetik kenyataan di dalam warta tersebut.

Terdahulu, bekas ketua menteri Musa Aman bersama-sama rombongannya dihalang masuk ke laluan Istana Negeri, tetapi kemudian beredar pada jam 5.30 petang selepas kira-kira 1 jam setengah berada di situ.

Rombongan lebih 10 kenderaan itu ditahan polis yang melakukan sekatan berhampiran Bulatan Nanas di Jalan Istana.

Musa dalam sidang medianya sebelum itu hari ini, mengumumkan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan dan mendakwa pembubaran DUN adalah tidak wajar.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini berkata, Yang di-PertuaNegeri Juhar bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri atas permohonannya, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kilat di negeri itu.