Filipina lupus hampir 39,000 ayam untuk bendung selesema burung

Jabatan Pertanian Filipina berkata, bekalan ayam tidak terjejas akibat penularan wabak selesema burung. (Gambar AFP)

MANILA: Filipina melupuskan hampir 39,000 ekor ayam di sebuah ladang ternakan di utara Manila untuk mengekang penularan selesema burung, lebih 4 bulan selepas jangkitan dikesan di sebuah wilayah berdekatan.

Biro Industri Haiwan Jabatan Pertanian (DA) mengesan kehadiran H5N6, subjenis virus influenza A, di sebuah ladang penghasilan telur di bandar San Luis, wilayah Pampanga.

DA dalam satu kenyataan berkata, selepas laporan itu disahkan, sepasukan veterinar dan pegawai kesihatan haiwan segera melaksanakan langkah kawalan kecemasan dengan melupuskan 38,701 ekor ternakan dan bangkainya.

Mac lalu, DA mengesan penularan selesema burung melibatkan virus sama di sebuah ladang ternakan puyuh di bandar Jaen, wilayah Nueva Ecija, di mana sekitar 1,500 burung puyuh mati dan kira-kira 12,000 ekor burung itu dilupuskan.

Siasatan awal DA mendapati kehadiran burung migrasi di bandar San Luisi, dipercayai ada kaitan wabak selesema burung yang melanda kebanyakan negara, termasuk Filipina.

DA berkata, bekalan ayam tidak terjejas akibat penularan wabak selesema burung.