Had pekerja asing kepada 3 sektor jejas operasi industri, kata persekutuan majikan

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang tidak mengambil pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal yang akan menjejaskan operasi mereka.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, keputusan kerajaan untuk mengehadkan pekerja asing kepada 3 sektor, iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan akan menjejaskan operasi industri di sektor lain yang berusaha keras untuk pulih daripada perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata, sektor yang tidak mengambil pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal yang akan menjejaskan operasi mereka.

“Kerajaan tidak membincangkan perkara yang melibatkan perubahan dasar dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan memutuskan untuk membenarkan pekerja asing bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan, manakala pekerjaan di sektor lain harus diisi oleh pekerja tempatan.

Bagaimanapun MEF berkata, kurang daripada 42% (837,800) bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan daripada 2 juta pekerja asing yang berdaftar dengan selebihnya bekerja dalam sektor pembuatan (sekitar 700,000), perkhidmatan (sekitar 309,000) dan pekerja domestik (kira-kira130,000).

Shamsuddin berkata, persoalan utama yang harus dijawab oleh kerajaan adalah adakah rakyat tempatan yang menganggur bersedia mengambil pekerjaan tersebut setelah pekerja asing daripada sektor ekonomi lain dihantar pulang.

“Semua orang tahu bahawa pekerja asing hanya dibenarkan diambil bekerja setelah majikan membuktikan bahawa tidak ada pekerja tempatan yang tersedia untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, penghapusan pekerja asing mungkin boleh dilakukan secara berperingkat dan sekiranya rakyat tempatan bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang diisi pekerja asing sebelum ini.

“Tetapi ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan rakyat tempatan mengisi jawatan kosong yang diisi pekerja asing sebelum ini pada kadar yang pantas,” katanya.