Kebanyakan ahli Parlimen Umno bersama Perikatan Nasional, kata pemimpin PPBM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan menyertai Periktan Nasional, selain mendakwa presiden PPBM Muhyiddin Yassin menyuarakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin atasan PPBM tidak memandang penting pengumuman presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa parti itu tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan berkata, kebanyakan ahli Parlimen parti itu adalah “bersama kita”.

Pemimpin itu, yang enggan dikenali, juga menafikan bahawa PPBM menyuarakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), iaitu kerjasama politik antara Umno dan PAS.

“Hanya mereka yang ada kes mahkamah dan penyokong yang tidak mahu bersama kami. Ahli Parlimen mereka mahu,” katanya, selain menambah bahawa beliau percaya sesetengah pihak cuba membuat tekanan politik ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu hari ini Zahid berkata, Umno tidak akan menyertai PN walaupun ia akan terus menyokong gabungan itu untuk membentuk kerajaan pusat serta pentadbiran beberapa negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 24 Julai. Parti itu sebaliknya akan terus memperkukuhkan gabungan MN.

Zahid juga berkata, Muhyiddin, yang merupakan presiden PPBM, menyuarakan hasrat untuk menyertai MN.

“Majlis Tertinggi PPBM juga dimaklumkan bahawa kami dijemput untuk menyertai Muafakat Nasional, bukannya memohon untuk menyertainya,” kata pemimpin PPBM itu.

Malah katanya, PN didaftarkan sebagai sebuah entiti politik dengan Pendaftar Pertubuhan.

“Tetapi Umno tidak tersenarai. MIC dan PAS ada, serta beberapa pihak lain,” katanya tanpa menghurai lanjut.

“Umno atau ahli Parlimennya boleh sertai kemudian jika mereka mahu. Muafakat Nasional sendiri bukanlah sebuah parti, tetapi kerjasama.”

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mahu “membina Malaysia” bersama-sama PPBM dan PAS dialu-alukan berbuat demikian dengan menyertai PN.