Keputusan muktamad, Adun Padungan tolak tawaran pertahan kerusi

Adun Padungan Wong King Wei (kiri) menyapa orang ramai di DUN beliau hari ini.

KUCHING: Adun 2 penggal bagi kerusi Padungan Wong King Wei menolak permintaan DAP Sarawak supaya menimbangkan semula keputusannya keluar parti, sekali gus tawaran untuk mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya negeri akan datang.

“Saya mohon maaf kepada Chong (Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen) dan mengucapkan terima kasih atas tawaran itu, tetapi dengan hormat saya menolak. Saya telah buat keputusan (untuk keluar DAP),” katanya.

Awal minggu ini, Wong mengumumkan keputusan untuk keluar DAP berkuat kuasa serta merta dengan berkata, beliau “bosan dan letih” dengan tindak-tanduk parti itu.

Chong meminta Wong menimbangkan semula keputusan itu dengan menggesa beliau tidak mengecewakan penduduk Padungan yang mengundinya dalam pilihan raya negeri sebelum ini.

Parti itu juga menawarkan peluang kepada Wong untuk mempertahankan kerusi beliau dalam pilihan raya negeri yang mesti diadakan menjelang Julai 2021.

“Walaupun saya ditawarkan untuk bertanding semula di Padungan di bawah DAP dan berpeluang untuk menang, saya masih menolak tawaran itu.

“Saya memutuskan untuk terus melangkah ke haluan dan masa depan baru yang telah diputuskan,” katanya ketika ditemui di kawasan diwakilinya hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau membincangkan keputusan itu dengan ahli DAP di Padungan, Wong yang merupakan bekas naib pengerusi DAR Sarawak berkata, ia adalah keputusannya sendiri.

“Saya sendiri memutuskan untuk keluar parti dan saya bertanggungjawab penuh atas keputusan itu,” katanya dengan menambah bahawa beliau tidak akan terlibat dengan mana-mana platform politik lain walaupun masih “berminat dengan politik”.

Katanya, beliau akan meneruskan khidmat di kawasan diwakilinya melalui platform lain.